6/13/08

Gadis Kecil Bernama Sumayyah


OLEH NORSYAIDAH SALIM


“MALIZIA! Malizia!” Satu suara menerjah gegendang telinga saya. Namun saya tidak mengendahkannya. Budak-budak arab di sini memang gemar mempermainkan pelajar Malaysia terutamanya siswi seperti saya bersaiz agak menyamai mereka. Amat merimaskan. Saya tidak mempedulikannya. Langkah diteruskan. Terasa ingin benar cepat sampai ke rumah apatah lagi bahang kepanasan musim Saifi semakin terasa.
“Malizia! Malizia!” Sekali lagi telinga saya menangkap panggilan itu. Mungkin panggilan itu memang ditujukan kepada saya. Langkah saya terhenti lalu saya menoleh ke belakang. Seorang gadis kecil lingkungan usia sembilan tahun memandang tepat ke arah saya.
“Sumaiyyah!” Saya bagai tidak percaya. Dia tercengang memandang saya. Tidak disangka saya akan menemui gadis ini lagi. Sumaiyyah masih di sini.
“Nah, ambil ini. Barang ini milikmu. Ammu di kedai sana yang menyuruh aku memulangkannya padamu. Kau memang seorang yang pelupa.” Sumaiyyah menyerahkan dompet kecil milik saya dan terus berlari meninggalkan saya di situ.
“Sumaiyyah nanti!” panggilan saya tidak diendahkan. Ah, saya mesti menemuinya sekurang-sekurangnya untuk mengucapkan terima kasih atau pun lebih dari itu. Inilah peluang saya untuk bertemu dengannya. Kalaulah dia kembali ke kampungnya kemungkinan selepas ini saya tidak mempunyai peluang lagi.

Sumaiyyah tidak bertuah seperti kanak-kanak lain. Sejak kecil dia telah kehilangan kedua ibu bapanya. Ibunya seorang wanita arab Palestin dan ayahnya anak kelahiran Mesir. Dengan bangga dia menceritakan kepada saya ketika kami sama-sama duduk di atas sutuh menikmati pemandangan laut Mediterranian dari atas bangunan empat belas tingkat. Menurut Sumaiyyah ayahnya adalah salah seorang petugas gerakan Mujahiddin Antarabangsa mewakili Mesir membantu mujahidin Palestin menentang Israel dan di sana ayah dan ibunya bertemu lalu berkahwin. Sumaiyyah adalah satu-satunya warisan yang ditinggalkan. Ibunya syahid ketika dia dilahirkan. Sumayyah dan Ayahnya kembali ke Mesir selepas ditimpa kecacatan akibat pertempuran di Palestin. Tidak lama selepas itu, ayahnya pula dijemput Illahi akibat penyakit yang dihidapinya. Sumaiyyah ditinggalkan bersama nenek dan bapa saudaranya. Desakan hidup yang semakin menekan, memaksa bapa saudaranya membawa Sumaiyyah dan nenek keluar dari kampung dan mencuba nasib di bandar pelancongan Alexandaria.

Bebanan hidup yang ditanggung mereka membawa Sumayyah ke kancah kesempitan dan kesukaran. Di saat kanak-kanak lain berlumba berjalan kaki menyandang beg untuk ke sekolah, Sumaiyyah hanya dapat memandang sepi kerana dunia itu bukan lagi menjadi miliknya. Di saat kanak-kanak lain berpautan tangan ibu dan ayah menuju ke taman rekreasi berlibur menghabiskan cuti hujung minggu, Sumaiyyah berpenat lelah mengangkut air dengan tangan kecilnya mencuci tangga bangunan setinggi empat belas tingkat.

“Dia tidak seperti yang pernah aku kenali. Semalam dia menonggang air syaitan itu lagi. Lewat malam, dia pulang dan terus menerkam nenek. Minta duit. Dia sudah gila. Sudah banyak duit nenek dihabiskan kerana tabiatnya yang suka berjudi. Dia ugut nenek dengan pisau. Dia nak cincang nenek dan aku kalau nenek tak serahkan semua duit. Aku takut kau tahu. Dia bukan lagi manusia tetapi Iblis!” Luah Sumaiyyah sambil menahan sakit. Dengan penuh berhati-hati saya menyapukan ubat pada luka yang membalar di belakangnya. Sumaiyyah dibelasah lagi lantaran terlambat menghantar roti Ish yang dibeli. Hati saya bagai diramas lumat melihat penderitaan gadis kecil ini. Kejam.

“Kadang-kadang aku selalu terfikir yang dia bukan lagi pakcikku yang sebenar. Aku selalu membayangkan dia adalah syaitan yang keluar dari laut untuk membelasah aku dan nenek. Setiap malam aku selalu berdoa supaya dia mati digilis keretapi sehingga tiada seorang pun yang dapat mengenalinya. Lalu membuang bangkainya ke dalam timbunan sampah.” Sumaiyyah terjeda. Dia merenung jauh laut biru yang terbentang luas di hadapan kami. Burung- burung camar berterbangan mencari ikan. Dari atas bangunan empat belas tingkat itu, kami dapat melihat keindahan alam ciptaan Tuhan. Begitu indah terhampar.
“InsyaAllah, aku yakin Allah mendengar doamu. Pasti Allah perkenankan. Lantaran orang yang dizalimi makbul doanya.” Saya cuba meniupkan semangat.
“ Sumaiyyah ummu Amar binYasir seorang wanita yang berhati cekal, tabah dan kuat menempuh cabaran dan ujian Tuhan kerana dia sedar syurga adalah miliknya. Aku yakin Sumaiyyah aku juga seorang yang kuat dan setabah Sumaiyyah di zaman Rasulullah.” Ritma saya nada memujuk. Wajah bening itu saya ratai. Ada manik jernih mengalir di pipi gebunya. Gadis itu lebih matang berbanding usianya.
“Aku sudah letih Ain. Terlalu. Aku tak mampu. Aku tak kuat. Sakit Ain, sakit.” Rintih Sumaiyyah lalu menyembamkan wajahnya ke riba saya. Pantas sekali airmata saya merembas keluar. Hati saya cukup terseksa dengan derita yang ditanggungnya.
“Sumaiyah! Sumaiyah!” Suara serak dan kasar tiba-tiba menikam lubang telinga. Sumaiyyah pantas bangun tak terarah. Kerutan di wajahnya meyimpul seribu satu ketakutan yang tak tergambar.
“Aku mesti pergi!” Sumaiyyah mengelap sisa airmata yang tumpah di pipinya dengan kain tudung yang sudah lusuh.
“Ambil ini.” Saya menghulurkan bungkusan roti yang masih belum disentuhnya. Dia hanya memandang. Kosong.
“Aku tak punya masa untuknya.” Lantas dia bergegas meninggalkan saya sendirian. Sumaiyyah, gadis kecil berlesung pipit itu mengingatkan saya pada Amira, adik kesayangan yang dipanggil Tuhan setahun sebelum permusafiran saya di sini. Tumpah lagi airmata ini entah untuk kali yang keberapa, seolah-olah menangisi nasib sendiri.

“Sumaiyyah tunggu! Sumaiyyah! ” Jerit saya sambil berhenti melepaskan lelah. Penat rasanya terpaksa tergesa-gesa seperti ini. Sumayyah terus mengatur langkah pergi. Sumaiyyah hilang dari pandangan. Saya kecewa. ‘Sumaiyyah, adakah kau sudah berubah.’ Getus hati saya. Saya melangkah longlai menyusuri lorong Ummu Dzar menuju ke mantiqah Nusaibah. Pengkelasan mantiqah yang diberi oleh pelajar Malaysia untuk memudahkan pengurusan penempatan pelajar. Tiba-tiba mata saya tertancap pada sebatang tubuh kecil yang terperosok di tepi bangunan yang belum siap. Terhinjut-hinjut bahunya seakan sedang menangisi sesuatu yang amat memilukan. Sumaiyyah, detik hati saya. Perlahan-lahan saya merapatinya. Jemari saya meyentuh bahunya. Dia menoleh. Matanya retak mengecaikan titisan lebat mengalir di pipi. Dia memandang wajah saya. Ternyata wajahnya menyimpan derita yang berat. Saya mengesan selirat sengsara melingkar pada iras comel itu.
“Mengapa kau mencari aku? Mengapa mesti aku mengenalimu? Mengapa mesti kau hadir ketika aku derita begini. Mengapa? Pergi kau! Aku tidak mahu melihat kau di sini. Pergi! Pergi!”
“ Sumaiyyah.” Mata saya mula berkaca. Saya amat kecewa dengan sikapnya. Sumaiyyah memandang wajah saya dengan esakan yang tertahan-tahan.
“Ain, aku yang bodoh. Aku tahu, aku tak seharusnya mencarimu lagi, aku tahu padahnya tetapi aku ... tapi aku amat merinduimu Ain. Walaupun berkali-kali nenek berpesan agar aku melupakan mu tetapi aku tetap berkeras. Aku terlalu ingin menemuimu. Kau terlalu baik Ain. Kau sering menghidu saat-saat deritaku.”
Saya pantas merangkul tubuhnya erat. Air mata merembas keluar tak tertahan lagi. Saya juga merindui anak gadis arab itu. Masakan tidak, Saya rindukan Sumaiyyah sepertimana saya rindukan Amira. Saya bersyukur pada Allah kerana mengizinkan saya menemui Amira di dalam diri Sumayyah.
“ Ain, nenekku meninggal dunia dua hari lalu.” Tutur Sumayyah perlahan. Saya terpempan. Pelukannya saya lepaskan. Di wajah kecil itu saya mencari kepastian lantas kebenaran itu telah saya temui. Sumaiyyah, dahsyatnya derita yang kau tanggung.
“Pakcikmu?” Soal saya sambil merenung mata yang masih lebat merembaskan airmata.
“Dia telah menjualku.” Esakannya bertambah kuat.
“Apa?!” Saya hampir terjerit. Lelaki itu memang gila. Zaman perhambaan telah berakhir. Tiada lagi perniagaan jual beli manusia!
“Hutangnya bertimbun-timbun kerana berjudi. Aku yang tinggal hanya menambah beban. Lantas aku dijadikan tebusan untuk melangsaikan hutangnya.”
“Astaghfirullahalazim.” Saya beristighfar panjang.

“ Jangan cuba menempah maut Ain. Usah cari penyakit. Ingat! Kita di negara orang. Terlalu risiko. Lagipun melanggar qarar DPMI.” Kak Wani menentang habis-habisan cadangan saya ingin menumpangkan Sumaiyyah di rumah sewa kami.
“Kak Wani tolonglah, kasihanilah dia. Nyawanya dalam bahaya. Dia tiada sesiapa lagi Kak Wani, sementara sahaja dia di sini. Itu pun sudah mencukupi.” Rayu saya dengan linangan airmata.
“Ain, Kak Wani faham apa yang Ain rasa. Hati mana yang tak tersentuh melihat derita anak sekecil itu. Tetapi Ain juga harus faham. Itu semua di luar batasan kuasa kita dan Ain juga kena sedar, kita sekadar menumpang semusim dalam kembara permusafiran ilmu.” Pujuk Kak Wani lembut. Mungkin cuba melembutkan hati saya untuk mendengar nasihatnya.
“ Kak Wani…tolonglah.” Saya sudah tidak tahu apa yang harus dilakukan lagi. Walau apa pun yang terjadi, jiwa itu perlu diselamatkan.Tidak sanggup rasanya membiarkan Sumaiyyah menghadapi kemelut derita berseorangan. Tiba-tiba terdengar bunyi daun pintu di tutup orang. Sumaiyyah, saya bergegas ke ruang tamu. Kosong. Saya menjenguk ruang dapur dan bilik air, kalau-kalau apa yang saya cari itu saya temui. Hampa. Sumaiyyah tiada lagi disitu. Hanya secarik kertas ditinggalkan bersama secebis coretan tangan miliknya.

Nurain,
Aku juga ingin menjadi seperti Sumaiyyah di zaman Rasulullah,
seperti yang selalu kau ceritakan itu. Sumaiyyah yang kuat dan tabah.
Doakankanlah juga agar doaku ini dimakbulkan Allah.
Ketahuilah bahawa aku amat menyayangi mu.
Sumaiyyah …

Lorong mantiqah Zinnirah saya susuri lesu. Akhbar Hawadith masih setia di genggaman. Seorang kanak-kanak perempuan ditemui mati di tempat pembuangan sampah menjadi tajuk utama akhbar itu. Masih terngiang-ngiang di telinga saya cerita Ummu Nuha, jurujual di Pustaka Nur Islam yang menyaksikan bagaimana keadaan jasad kecil itu dibuang.


Sumaiyyah ditemui mati di dalam timbunan sampah. Mayatnya dibunuh kejam. Kematiannya dipercayai berpunca daripada pendarahan serius akibat didera dan dipukul dengan benda tajam. Bahkan dia juga mengalami penderaan seksual yang teruk. Cerita Ummu Nuha dengan linangan airmata. Mengapa saya perlu menghadapinya sekali lagi? Amira ditemui mati di dalam belukar di belakang rumah. Amira menjadi mangsa nafsu serakah manusia berhati syaitan, diperlaku seperti binatang lantaran penyakit Sindrom Down yang dihidapinya. Kerja gila seorang lelaki yang seharusnya menjadi pelindung dan tempat bergantung berubah citra. Episod cerita mereka hampir sama dan serupa. Manusia berhati Iblis juga yang meragut seluruh kehidupan mereka.


Malam tadi satu lagi nyawa menjadi korban di landasan keretapi Assofirah. Seorang lelaki mati digilis keretapi. Doa Sumaiyyah dimakbulkan. Lelaki jahanam kembali mengadap Tuhan untuk menerima pengadilan. Sumaiyyah, pasti ruhnya disambut dengan haruman mewangi syurga Firdausi. Derapan langkah Sumaiyyah binti Hubbath ibu Ammar bin Yasir telah dituruti oleh gadis kecil bernama Sumaiyyah.


:. Gadis KeciL Bernama Sumayyah adalah cerpen pertama yang saya tulis ketika awal pembabitan saya di arena penulisan di bumi Mesir. Cerpen ini telah di terima dan tersiar di dalam majalah Suara Kampus Edisi Perak sekitar dua tahun lalu. Selamat Membaca :-) .: