6/20/08

Kempen Obama hina dua wanita bertudung

POPULAR: Obama bergambar dengan penuntut Kolej Komuniti Mukim Wayne di Taylor, Michigan Selasa lalu yang turut disertai seorang wanita bertudung.


WASHINGTON: Pasukan kempen Senator Barack Obama terpaksa memohon maaf kepada dua wanita Muslim yang dilarang duduk di kerusi di belakang calon Demokrat Presiden baru Amerika Syarikat itu pada satu majlis perjumpaan awam. Laman web akhbar Britain, Daily Telegraph melaporkan semalam dua wanita bertudung itu, Hebba Aref dan Shima Abdelfadeel dilarang berbuat demikian kerana kedudukan mereka di kerusi khas belakang pentas menjadi sebahagian imej dirakam kamera ketika Obama menghadiri majlis di Detroit, dua hari lalu.
Seorang daripada mereka turut dimaklumkan yang beliau perlu membuka tudungnya jika mahu duduk di kerusi khas berkenaan. Obama, seorang penganut Kristian bergelut menangani khabar angin mengaitkan dirinya sebagai Muslim serta dakwaan beliau menghina umat Islam. Jurucakap Obama, Bill Burion terpaksa mengeluarkan kenyataan yang menegaskan tindakan itu bukan sebahagian polisi kempen.
"Ia bertentangan dengan komitmen Obama menyatukan rakyat Amerika dan bukanlah jenis kempen yang kami kendalikan. Kami memohon maaf di atas kejadian itu," kata kenyataan berkenaan. Sementara itu Hebba, yang juga seorang peguam kesal di atas kejadian itu. Dalam temu bual dengan agensi berita Associated Press (AP), Hebba berkata, beliau dan Shima adalah antara 20,000 yang berkumpul melihat Obama di Joe Louis Arena. Mereka hadir selepas menerima jemputan berasingan oleh sukarelawan kempen Obama sendiri dan diarah duduk di belakang pentas. Bagaimanapun, setibanya di situ, Hebba dimaklumkan yang sukarelawan sudah diberitahu yang wanita memakai tudung tidak tersenarai dalam jemputan dan tidak boleh duduk di kerusi khas berkenaan.
"Saya datang untuk menyatakan sokongan tetapi sebaliknya menjadi mangsa diskriminasi pula," kata wanita 25 tahun itu. Hebba berkata beliau turut menyatakan terima kasih di atas permohonan maaf Burton tetapi mahukan Obama mengucapkan maaf kepadanya. Beliau juga mahu diberi-kan jemputan untuk duduk di belakangnya pada acara kempen, pada masa depan. "Obama perlu memandang serius perkara itu dan membuat pendirian jelas yang beliau menentang sebarang bentuk diskriminasi." Jurucakap Obama, Amy Brundage berkata pihaknya akan mengkaji permintaan itu. Hebba, rakyat Amerika berketurunan Mesir berkata, beliau kesal kerana sebelum ini pernah mempertahankan Obama ketika timbul khabar angin mengenai kemungkinan Obama beragama Islam. "Saya sendiri tidak suka jika dilabelkan penganut agama lain. Tetapi apa dikesali, apabila dirujuk sebagai Muslim atau Islam, ia seperti satu dosa besar atau jenayah." Rakan Hebba, Ali Koussan, pelajar jurusan undang-undang berkata, seorang sukarelawan kempen itu memberi penjelasan kepadanya yang mereka terpaksa diarah berbuat demikian berikutan senario semasa. – Agensi/AP